Salam Ukhwah...;)

Sahabat V2meN Nasyeed

Friday 14 October 2011

,,,,,;;;;;Carilah Jalan Kembali;;;;;,,,,,


"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."  Al-Maidah: Ayat 35




Jasad kita berasal daripada tanah. Ia harus kembali kepada asal kejadiannya untuk mencapai kepuasan.
Disebabkan itulah kita makan apa yang tumbuh daripada tanah, juga binatang-binatang yang memakan hasil tanah.

Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan semuanya tumbuh daripada tanah.
Apabila jasad memperoleh sumber makanan daripada permukaan bumi, maka ia akan kenyang, tenang dan bertenaga.

Ruh kita datang daripada Allah, ditiupkan ke dalam jasad.

Maka ruh takkan mencapai ketenangan selagi ia belum kembali kepada Tuhan.

Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali.

Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita daripada Tuhan.

Jiwa yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan 
habis dikejar.




Makin kita punya harta, makin jiwa kacau tak senang duduk. Terikat dengan material.

Makin kita punya pangkat, makin tinggi yang ingin kita kejar dan capai.

Makin kita punya apa sahaja yang kita inginkan, makin kita inginkan sesuatu yang lebih lagi untuk kepuasan.
Hakikatnya jiwa kita menderita, tak puas dan tak mencapai ketenangan, ketenteraman.

Bukan ertinya kita harus terkurung meninggalkan dunia luar, itu adalah satu fahaman yang salah.

Sebaliknya, gunakanlah apa sahaja yang ada atas dunia ini demi mencari jalan kembali kepada Allah.

Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi.

Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan.

Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." - Az-Zumar: 54

Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat kita mencari-Nya.

Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya.

Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan kita dan lebih menarik hati kita.
Maka kita tak jadi kembali.

Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya.

Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - Az-Zumar: Ayat 53

Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah?

Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi.

Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.




Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah... Kau tidak bertemu kerana kau tidak mencari.

Rab, 06 Okt 2010 04:03 | zulyunus | Editor: Erma Farida//sahabatmuslimeen
 3973Share

Tuesday 11 October 2011

Nasyidofobia punca industri nasyid suram...????



PENGHUJUNG tahun 1990-an, irama nasyid kontemporari yang dipelopori oleh kumpulan Raihan pernah duduk di satu singgahsana gah dalam industri muzik tanah air.

Ketika itu ia dianggap sebagai zaman kegemilangan lagu-lagu nasyid. Lagu-lagu seperti Puji-Pujian dendangan kumpulan Raihan, Pergi Tak Kembali (Rabbani), Sumayyah (Hijjaz), Nur Kasih (Inteam) dan Sepohon Kayu (Saujana) cukup popular dan sangat dekat di hati peminat dan penggemar muzik tempatan.



Malah lagu-lagunya bukan setakat diterima tetapi turut diangkat hingga memenangi pelbagai anugerah mengalahkan muzik pop.

Tiada apa yang menghairankan kerana sebelum kemunculan Raihan, peminat yang mahu menikmati lagu berunsur ketuhanan, berpaling kepada kumpulan Kopratasa.

Hanya setelah Raihan muncul dan diikuti pula dengan kehadiran kumpulan-kumpulan nasyid tempatan lain, lebih ramai pendengar menerima lagu nasyid kontemporari kerana adanya mesej dan unsur nasihat menerusi nasyid dendangan mereka.

Namun tiada sesiapapun yang boleh menafikan, Raihan membawa satu anjakan besar dalam iklim muzik di Malaysia hingga ketika itu digelar Raihanmania.



Kehebatan Raihan sebagai sebuah kumpulan nasyid di era tahun 1990-an, awal 2000 turut mencuri tumpuan bakal pewaris takhta England, Putera Charles.

Raihan merupakan kumpulan nasyid pertama dari Malaysia yang pernah diundang untuk membuat persembahan di hadapan Putera Charles di Royal Albert Hall, London.

Boleh dikatakan, dalam sekelip mata sahaja, irama nasyid kontemporari berdiri dengan begitu gah sekali dan berada di puncak seolah-olah mengambil tempat genre-genre lain terutamanya irama dangdut yang pada ketika itu penghujung tahun 1990-an, menguasai industri muzik tempatan.

Kejayaan yang dicatat oleh Raihan membawa mereka kepada pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records apabila menjadi artis berkumpulan pertama dalam negara yang berjaya menjual melebihi 600,000 unit menerusi album Puji-Pujian.

Bukan itu sahaja, album tersebut turut dinobatkan sebagai album artis tempatan paling laris pernah dijual dalam sejarah muzik tanah air.



Tidak terhenti setakat itu, gelombang nasyid terus mengungguli beberapa trofi di majlis anugerah berprestij di negara ini termasuklah Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Bintang Popular (ABP) dan juga beberapa anugerah lain.
Begitulah hebatnya penangan kumpulan nasyid ketika itu. Kesannya bukan sedikit. Malahan mampu merubah senario muzik Malaysia hinggakan mencipta satu fenomena yang digelar nasyid mania.

Bak kata pepatah, hidup ibarat roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Adakah perumpamaan itu melanda pejuang irama tersebut yang kini dilihat semakin suram?

Untuk menjawab segala persoalan, penulis mengatur satu sesi fotografi bersama wakil daripada lima kumpulan nasyid popular iaitu Che Amran (Raihan), Azadan (Rabbani), Munif (Hijjaz), Syahril (Inteam) dan Suffian (Saujana) dengan berlatarbelakangkan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



Lontaran hati diluahkan demi membela nasib penggiat industri nasyid Malaysia dan masyarakat Islam secara khasnya.
Menariknya, stigma Islamofobia atau takut dengan Islam di bumi Malaysia terpacul daripada mulut mereka.
Dari situ kata mereka, wujud istilah baru yakni nasyidofobia yang mempengaruhi komuniti Islam di negara ini agar menjauhi genre muzik nasyid.

Sikap prejudis segelintir orang Islam sendiri yang menyebabkan irama kebudayaan Islam itu semakin menyepi.

Nasyid tidak pernah pasif

DAKWAAN yang mengatakan kumpulan nasyid tempatan sudah terkubur ditepis oleh Che Amran, Munif, Azadan, Syahril dan Suffian yang mewakili kumpulan nasyid masing-masing.

Pada hakikatnya, kumpulan-kumpulan nasyid masih aktif termasuk menerima pelbagai undangan persembahan dari dalam dan luar negara.

Meneropong diari lima kumpulan nasyid popular tanah air iaitu Raihan, Rabbani, Hijaz, Inteam dan Saujana, ternyata masing-masing punya perancangan untuk menerbitkan album terbaru.

Itu bermakna, masih ada ruang untuk kumpulan nasyid terus bergerak dalam industri hiburan tanah air. Sebab itu tidak perlu wujud rasa gundah dengan anggapan penggemar muzik nasyid kontemporari sudah berpaling ke genre-genre lain.












-sahabatmuslimeen-


...:::Duhai Hati, Janganlah Terkorban Dengan Dunia:::...


Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti.

Namun adakah kita sedar bahawa ia adalah ujian dari Allah?
Kepayahan itu sesungguhnya adalah satu bentuk tarbiyah-Nya kepada hati.



Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya?
Terlebih banyak mengadu dari bertahmid rasanya.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)

Tak tersedarkah hati bahawa segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu adalah nikmat.

Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."                                      (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuhi?



Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.

Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?

Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?
                                                                                                                                                                                                                                             
Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?

Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita? Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?

"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)

Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...



Ahd, 31 Okt 2010 14:12 | azniey | Editor: kasihsayang//sahabatmuslimeen
 6001Share

Sunday 9 October 2011

Keinsafan Menziarahi Jenazah


Saya ingin berkongsi secebis pengalaman saya bersama anda semua. Sebelum Jun tahun 2001, kadang-kala saya tertinggal solat Subuh kerana tertidur dan buat solat pun sekadar untuk melepaskan kewajipan sahaja; tanpa adanya roh solat itu.




Saya tidak merasa seronok melakukan solat kerana diwajibkan dan terpaksa. Kalau solat itu tidak diwajibkan saya tidak akan lakukan. Saya tidak merasa indah dan manisnya beribadah kepada Allah.

Detik perubahan berlaku dalam hidup saya selepas Jun tahun 2001. Ceritanya begini, adik ipar saya telah meninggal dunia secara mengejut. Jenazahnya ditempatkan di bilik mayat di sebuah hospital untuk proses post mortem.

Sebelum proses itu bermula, saya pergi melihat jenazahnya di dalam peti yang kecil seorang diri.
Sekujur tubuh yang kaku terbujur sepi Saya merenung dan muhasabah diri Inilah kesudahan kita ke tempat yang sangat sempit.




Saya kembali ke rumah dan di sinilah bermulanya detik keinsafan. Allah menyayangi hambaNya dengan memberikan taufik dan hidayah kepada saya untuk berubah memperbaiki diri sendiri. Malam pertama saya balik ke rumah, Allah memudahkan saya untuk bangun pada pukul 2.00 pagi bagi mengerjakan solat taubat.

Saya menangis bersungguh-sungguh memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang saya telah lakukan. Sejak itu saya mengqada solat setakat yang termampu dan mengerjakan solat sunat rawatib. Saya juga dengan izin dan rahmat Allah mampu untuk bangun malam melakukan solat taubat,tahajud dan hajat serta membaca Quran.

Sebelum keinsafan ini datang, saya tidak pandai membaca al-Quran, tetapi selepas itu saya bertekad untuk belajar. Allah memberikan hidayah dan petunjuk serta mempermudahkan saya untuk mempelajari al-Quran.
Saya dengan mudah dapat membaca ayat-ayat al-Quran, yang sebelum ini saya tidak tahu membacanya.

Sejak itu jugalah saya tidak pernah tinggal solat wajib, sunat rawatib, bangun malam untuk bertahajud dan bermunajat kepada Allah. Dalam solat saya menangis. Air mata itu mengalir dengan sendirinya tanpa dipinta.
Baru kini saya merasa manisnya iman. Pola kehidupan saya turut berubah, saya sudah tidak berminat menonton program televisyen yang lagha atau yang tidak memberi ilmu atau manfaat. Saya suka membaca buku-buku agama. Sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri saya berjaya mengawalnya.




Kesimpulannya hati yang keras boleh dilembutkan dengan cara kita selalu menziarahi orang mati, kita akan sentiasa ingat mati. Semoga dengan cara ni Allah akan memberi taufik dan hidayahNya kepada kita untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Jadi marilah kita berusaha untuk memohon taufik dan hidayah Allah semoga kita beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Rab, 07 Jul 2010 12:55 | Misahharun | Editor: aeyie®
 1677Share

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Find This Blog!